Saturday 21 February 2015

PERGINYA MURSYIDUL AM PAS



Detik 12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiulakhir 1436H, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat,84 telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 malam iaitu di malam Jumaat, penghulu hari di rumahnya, di Pulau Melaka Kota Bharu. Arwah meninggal dunia akibat kanser prostat. Perginya pemimpin yang aku sayangi dan hormati, Tok Guru Nik Aziz. Sungguhpun diriku belum pernah berjumpa denganmu, sebak menguasai diri ini apabila mendapat berita tentang pemergianmu. Semoga dirimu ditempatkan dikalangan orang yang beriman…

Datuk Nik Aziz Nik Mat yang lebih dikenali sebagai Tok Guru dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kelantan. Tok Guru dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan  beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Tok Guru Nik Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil, beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya, Hajah Aminah Majid.

Pada tahun 1952, Tok Guru Nik Aziz menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum, Deoband, India dengan mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, tafsir AL-Quran dan hadis. Ketika di India, beliau berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat terkemuka di India, Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani sehingga perolej ijazah. Pada 1957, beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang tafsir.

Pada 1958, Tok Guru Nik Aziz menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar Mesirhingga peroleh sarjana muda pengajian Bahasa Arab, sebelum menyambung pelajaran sehingga mendapat sarjana jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun.
Sejurus kembali ke tanah air pada Februari 1962, Tok Guru Nik Aziz mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor, sebelum berpindah mengajar di Sekolah Agama Darul Anwar, Kampung Pulau Melaka, yang diasaskan bapanya sebelum menjadi guru di Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Pada usia 31 tahun, beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis dari Kampung Panchor, Kemumin, Tuan Sabariah Tuan Ishak, yang menjadi pilihan orang tuanya. Hasil perkongsian hidup, beliau telah dikurniakan 10 orang cahaya mata.
Pemergianmu membuatkan kami kehilangan seorang pemimpin yang dihormati dan banyak menabur bakti kepada Islam. Semoga dirimu ditempatkan dikalangan orang yang beramal soleh. Al-Fatihah….




No comments:

Post a Comment